20080603

Kurangkan Kompaun Untuk Kurangkan Rasuah

Oleh : Rozmal bin Malakan , Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Rembau

Tanyalah kepada pemberi dan penerima rasuah adakah mereka suka dengan perbuatan rasuah ? Adakah mereka yakin bahawa rasuah dapat memberi kebahagian kekal abadi buat selama-lamanya ? Adakah mereka yakin rasuah akan menyelesaikan masalah kewangan mereka ?

Mereka yang melakukan rasuah tidak akan melakukan rasuah sekiranya pada ketika mereka mengamalkan rasuah mereka berada dalam keadaan yang sempurna imannya.

Tanyalah kepada penjenayah sekali pun, mereka pun kalau boleh tidak ingin mengamalkan rasuah. Tetapi kenapa rasuah masih menjadi bicara masa kini. Dan kenapa sesetengah agensi kerajaan sahaja yang dikaitkan dengan rasuah sedangkan rakyat biasa pun boleh terlibat dengan amalan rasuah ?

Kenapa tidak rakyat biasa boleh menjadi pemangkin kepada amalan rasuah ? Katakan seorang rakyat biasa ditahan oleh seorang penguatkuasa kerana memandu tanpa lesen memandu ? Berapakah kadar kompaunnya atau kadar dendanya ? Mungkin RM 100, mungkin RM 200 atau mungkin RM 300 ? Sebagai rakyat biasa yang mungkin berpendapatan RM 900 sebulan kalau kadar kompaunnya RM 300 ianya satu pertiga daripada gajinya. Kalau rakyat biasa tadi berfikiran pendek RM 50 sudah pasti jauh lebih murah daripada RM 300. RM 50 boleh dibayar secara terus, RM 300 perlu dibayar di pejabat penguatkuasa yang mungkin di tengah bandar, sedangkan rakyat biasa tadi duduk di pedalaman desa atau pinggir bandar.

Sebagai rakyat biasa yang berfikiran mudah, lebih baik dipujuk sahaja penguatkuasa tadi supaya menerima RM 50 daripada dikenakan denda RM 300. Sekali pujuk mungkin tak berjaya, tetapi kalau dah lebih 10 orang rakyat biasa penguatkuasa tadi temui mahu tak mahu ada juga yang nak tak hendak diterimanya juga RM 50 tadi atau dilepaskan rakyat biasa tadi begitu sahaja. Dan mungkin ada yang tidak terlepas kerana mungkin setiap penguatkuasa ada kuotanya berapa saman perlu dikeluarkan dalam sehari, dalam seminggu dalam sebulan ?

Apa kata kadar saman tadi dikurang , mungkin setiap kesalahan dari RM 10 paling minima dan RM 50 ke paling maksima ? Dan rakyat diberi pilihan pula sekiranya membayar terus pada masa tersebut tidak akan dikenakan bayaran tambahan RM 10 ? Contohnya anda ditahan kerana tidak memakai tali pinggang keselamatan ketika memandu kereta. Mungkin kadar samannya RM 20 , kalau anda bayar terus anda hanya perlu membayar RM 20 beserta dengan resit rasmi (bukan rasuah). Tetapi jika sekiranya anda pilih untuk membayar di ibu pejabat penguatkuasa anda akan dikenakan bayaran tambahan RM 10 menjadikan jumlahnya RM 30. Rasionalnya bayaran tambahan tersebut ialah untuk menggalakkan orang ramai membayar terus ketika disaman, membayar kemudian nak tak nak anda akan tetap membayar tambahan RM 10 atau mungkin lebih, kerana anda mungkin terpaksa mengambil cuti, duit minyak untuk ke tempat membayar saman, duit tempat letak kereta dan sebagainya.

Kalau saman dikurangkan , macam tu lebih senanglah orang akan melakukan kesalahan, terutamanya mereka yang banyak duit ? Tidak , bayaran kompuan minima ini mungkin untuk kesalahan pertama, ianya boleh dinaikkan untuk kesalahan kedua, ketiga dan seterusnya.

Haruslah diingatkan kompaun , saman atau denda tidak sepatutnya dijadikan sumber pendapatan sesebuah agensi kerajaan. Mendenda, mengkompaun, menyaman adalah merupakan satu cara terakhir untuk mendidik rakyat agar mematuhi peraturan serta undang-undang andaikata pendekatan berhemah seperti kempen, nasihat, pendidikan formal tidak dapat membimbing rakyat agar mematuhi peraturan dan undang-undang di negara ini.

Suasana , sistem perundangan , cara kerja , prosedur jabatan dan sebagainya secara tidak langsung di sini menyumbang kepada amalan rasuah di negara ini. Justeru itu ianya haruslah dikaji dari masa ke semasa agar ianya lebih mudah serta lebih telus untuk mengurangkan amalan rasuah di negara ini yang boleh dianggap penyakit sosial utama atau mungkin barah utama di negara ini.

Disamping itu usaha untuk memperkukuhkan iman umat Islam di negara ini bukan sahaja di kalangan pihak berkuasa bahkan rakyat jelata juga harus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mengubat penyakit ini dari menjadi epidemik yang tidak terkawal.

20080529

Penyelesaian Total Penyakit Rasuah , Barah Utama Negara

Dari laman web Jabatan Mufti Brunei http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2004/ic38_2004.htm

RASUAH : GEJALA MASYARAKAT YANG PERLU DIBANTERAS
(BILANGAN 189 BAHAGIAN AKHIR)
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Faktor-Faktor Rasuah
Ada beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya amalan rasuah seperti berikut:

1. Hilang atau lemah nilai keimanan dalam kehidupan manusia boleh menjadi faktor berlakunya penyelewengan dalam pencarian atau perolehan harta.

2. Tabiat manusia yang amat suka kepada harta benda. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Serta kamu pula kasihkan harta secara tamak haloba.”
(Surah al-Fajr: 20)

3. Tidak bersikap amanah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun memberikan dasar kriteria pemimpin, ketua, pegawai dan selainnya untuk dilantik. Sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayahku, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.”
(Surah al-Qashash: 26)

Sementara dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Seorang mukmin yang kuat (jiwa yang teguh dan bersih dalam perkara-perkara akhirat) lebih baik dan lebih disukai Allah daripada seorang mukmin yang lemah….”
(Hadis riwayat Muslim)

Terabainya amanah iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada seseorang yang bukan ahlinya, adalah salah satu tanda hari kiamat. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apabila amanah diabaikan maka tunggulah hari kiamat.”
Bertanya (al-A‘rabiy): “Bagaimana mengabaikannya wahai Rasulullah?”
Baginda bersabda: “Apabila suatu perkara diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah hari kiamat.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

4. Tidak ada penerapan hukum Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam kehidupan manusia.

5. Kurang pemahaman atau tidak faham langsung dengan konsep serta ajaran Islam secara betul dan menyeluruh.

6. Faktor-faktor yang lain secara ringkas:
(i) Lemah pendidikan agama dan etika.
(ii) Tamak.
(iii) Banyak berhutang.
(iv) Ada keinginan dan ada peluang.
(v) Kepimpinan dan pentadbiran yang lemah.
(vi) Faktor sosial yang menganggap rasuah sebagai cara hidup.
(vii) Untuk mencapai cita-cita.
(viii) Belanja hidup yang semakin meningkat.

Ancaman Kepada Pengamal Rasuah
Ancaman-ancaman terhadap pengamal rasuah adalah seperti berikut:

1. Mendapat kemurkaan, laknat dan kebencian Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
2. Mendapat kutukan dan laknat daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
3. Tidak mendapat rahmat, taufiq dan hidayat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
4. Pemberi dan penerima rasuah diancam dengan api neraka.
5. Rasuah itu termasuk memakan harta dengan jalan yang salah.
6. Rasuah tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar.
7. Doa tidak diterima.

Bahaya Rasuah Dan Kesannya

Amalan rasuah merupakan suatu bentuk gejala sosial yang wajib ke atas setiap individu mencegahnya. Ini kerana rasuah itu banyak memberi kesan yang buruk, bukan sahaja terhadap individu bahkan juga kepada masyarakat dan negara. Antara kesan-kesan buruk rasuah itu adalah seperti berikut:

1. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Individu:
(i) Kehilangan pekerjaan.
(ii) Kejatuhan moral atau maruah.
(iii) Menerima hukuman.
(iv) Menghancurkan keharmonian hidup berumahtangga.
(v) Keluarga terabai.

2. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Masyarakat:
(i) Mengakibatkan ketidakadilan disebabkan mengenepikan hak-hak orang tertentu.
(ii) Menggalakkan jenayah dan melindungi penjenayah.
(iii) Membebankan golongan orang susah.
(iv) Memburukkan lagi taraf kemiskinan kerana sumber-sumber yang telah ditetapkan bagi membantu rakyat miskin diselewengkan.

3. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Negara:
(i) Menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran.
(ii) Menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan.
(iii) Tumpuan pembangunan yang tidak seimbang.
(iv) Kenaikan kos barang dan perkhidmatan.
(v) Mengurangkan pendapatan negara.
(vi) Menurunkan mutu dan kualiti kerja atau produk yang dihasilkan.

Penyelesaian Penyakit Rasuah

Ada beberapa cara atau langkah yang difikirkan boleh mengurangkan masalah rasuah ini daripada berleluasa, antaranya:

1. Menyebarkan kefahaman terhadap konsep Islam kepada masyarakat seperti menjelaskan reaksi Islam terhadap perbuatan rasuah dan mengenal pasti perbuatan yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta‘ala mahupun yang sebaliknya.

2. Pendidikan Islam sejak dari usia kecil agar membentuk peribadi muslim yang beriman dan bertakwa, kerana dengan adanya iman dan takwa boleh menghalang seseorang itu daripada melakukan maksiat.

3. Membentuk individu beretika mulia dengan menanam sikap amanah, jujur, menyuruh kepada melakukan kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan.

4. Menanamkan sikap minat belia-belia untuk mempelajari kitab-kitab agama dan sebagainya.

5. Memperbanyakkan dan mengutamakan aktiviti-aktiviti keugamaan, seperti membaca, menghafal dan merenung isi kandungan al-Qur’an, mengkaji hadis-hadis dan kitab-kitab agama.

6. Membentuk peribadi muslim kepada seorang yang mahu mengubah sikap diri sendiri daripada yang jahat kepada yang terpuji. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri .....” (11)
(Surah ar-R‘ad: 11)

7. Memberi kefahaman yang jelas tentang makna dan tujuan hidup.



8. Membersihkan jiwa dengan menanamkan kerohanian Islam.

9. Merapatkan diri dengan al-Khaliq menerusi amalan ibadat yang wajib dan sunat, seperti sembahyang sunat, berpuasa, berzikir, membaca al-Qur’an dan berselawat.

10. Menjalankan hukuman ta‘zir bagi memberi pengajaran kepada pelaku rasuah dan juga untuk orang ramai mengambil iktibar dengan hukuman tersebut.

11. Menyediakan peruntukan akta atau undang-undang bagi membentras gejala rasuah daripada berleluasa. Sebagai contoh, di Negara Brunei Darussalam peruntukan akta berkenaan disebut sebagai Akta Pencegahan Rasuah Bab (2) Penggal 131.

Penutup

Rasuah adalah perkara yang amat dilarang oleh syara‘, bahkan mereka yang terlibat dengan amalan rasuah akan mendapat laknat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Perbuatan rasuah juga termasuk dalam perkara memakan harta orang lain dengan jalan yang salah. Kesannya setiap daging yang tumbuh dengan sesuatu yang haram, maka nerakalah yang lebih utama bagi orang tersebut, sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Wahai Ka‘ab bin ‘Ujrah: “Tidak masuk syurga sesiapa yang tumbuh pada dagingnya daripada sesuatu yang haram, nerakalah lebih utama baginya.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Hikmat di sebalik pengharaman Islam terhadap sumber-sumber pencarian yang tidak halal, Islam telah mencapai beberapa matlamat sosial dan ekonomi:

1. Menjalin hubungan antara manusia berdasarkan prinsip keadilan, persaudaraan, penjagaan kehormatan dan pemberian hak kepada orang yang berhak.

2. Islam telah menghapuskan faktor utama yang menyebabkan lebarnya jurang perbezaan ekonomi antara kelompok dan status masyarakat. Keuntungan yang keterlaluan, kebanyakannya datang daripada sumber yang haram berbeza dengan jalan yang baik, ia selalunya mendatangkan keuntungan yang sederhana dan logik.

3. Mendorong manusia agar bekerja dan berusaha, kerana haram memakan harta secara salah iaitu bukan berdasarkan pulangan hasil usaha atau tanpa berkongsi dalam keuntungan dan kerugian seperti judi, riba dan sebagainya, meskipun ia mendatangkan manfaat dari segi ekonomi.



Oleh itu, amalan rasuah hendaklah dicegah daripada berleluasa. Cara yang terbaik ialah memberikan pendidikan Islam sejak dari kecil lagi agar keimanan tersemai di dalam jiwa mereka. Apabila keimanan ada dalam jiwa setiap orang, nescaya segala perkara-perkara mungkar dan maksiat akan terhindar daripada mereka, sekaligus akan membina masyarakat dan negara yang aman lagi makmur.

20071206

Dakwa segera Menteri Besar Negeri Sembilan

Oleh : Abu Hasif

Pihak GERAK Negeri Sembilan sehingga kini masih menanti proses pendakwaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohammad Hassan yang terlibat secara langsung dalam satu proses pertukaran saham yang bernilai RM 70 juta di bawah milikan Menteri Besar Incorperated (MBI).

“Kita berpegang pada jaminan pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang berjanji akan membuat proses pendakwaan secepat mungkin. Namun sehingga kini masih belum ada tand-tanda positif yang MB Negeri Sembilan akan didakwa, malahan beliau masih mampu merasmikan bangunan baru BPR Negeri Sembilan pada 15hb November yang lalu...” kata Norazizi, Setiausaha GERAK N. Sembilan.

Satu laporan skandal rasuah terbaru yang membabitkan Menteri Besar NS telah diserahkan kepada BPR oleh Pengerusi GERAK N.Sembilan, Suhaimi Kasim pada 9 November 2007 yang diiringi oleh Koordinator GERAK Malaysia, Badrul Hisham Shaharin.

Dalam laporan itu, telah dinyatakan secara terperinci bagaimana satu pembelian saham yang tidak melibatkan wang tunai tetapi hanya melibatkan pertukaran saham di bawah MBI dengan Allson Klana. Tindakan ini jelas meragukan kerana terlalu menguntungkan sebelah pihak iaitu pihak yang menjual Allson Klana. Walaupun pada mulanya pihak di belakang Allson Klana hanya memegang kepentingan sebuah syarikat hotel, namun kini individu itu, sudah mempunyai kepentingan dalam kerajaan Negeri Sembilan.

“GERAK yakin perkara ini melibatkan pertimbangan demi kepentingan politik peribadi Mohammad Hassan. Ini kerana tokoh korporat di belakang Allson Klana memang terkenal rapat dengan bekas Menteri Besar yang sebelum ini. GERAK khuatir pertimbangan ini dilakukan untuk tujuan politik bagi memisahkan tokoh korporat itu dari terus membantu bekas Menteri Besar. Justeru, tokoh korporat itu dibeli dengan milikan saham di bawah MBI. Ini melibatkan jumlah dana yang cukup besar dengan kepentingan jutaan penduduk di Negeri Sembilan,” komen Suhaimi Kasim ketika dihubungi.

Laporan rasuah yang dihantar itu juga menyebabkan Mohammad Hassan resah gelisah. Melalui satu sumber yang dipercayai menyatakan bahawa Mohammad kerap tersilap cakap ketika ucapan perasmian bangunan baru BPR Negeri Sembilan. Beliau juga dikatakan telah membatalkan sidang akhbar pada saat-saat akhir dan dipercayai ini adalah bertujuan agar pihak wartawan tidak dapat menyentuh tentang isu laporan rasuah dari GERAK Negeri Sembilan itu.

20071204

RASUAH MUSUH NO 1 NEGARA

TAHUN ANTI RASUAH NEGERI SEMBILAN 2008
“KE ARAH GENERASI BEBAS RASUAH”
Rasuah Menghancurkan Negara
Peminta dan Penerima Rasuah adalah Pengkhianat dan Petualang Agama, Bangsa dan Negara

Definisi Rasuah

Di dalam bahasa Arab, rasuah disebut sebagai ar-risywah atau ar-rasywah

Menurut kamus bahasa Malaysia, rasuah adalah pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap).

Dari segi istilah pula ia memberi maksud sesuatu yang diberikan untuk menyalahkan yang benar atau membenarkan yang sudah jelas salah.

Definisi rasuah (bahasa Latin: corruptio daripada kata kerja corrumpere = busuk, rosak, menggoyahkan, memutar balik, menyogok) menurut Transparency International ialah perilaku di jabatan-jabatan atau pejabat-pejabat awam, termasuklah para politikus dan pegawai-pegawai, yang secara tidak wajar dan tidak sah/menurut undang-undang, mengayakan diri atau memperkaya kerabatnya (keluarga dan sahabat handai), dengan menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan awam yang diberi kepada mereka.

Rasuah atau suapan adalah termasuk:
1. Melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan.

2. Penyalahgunaan harta negara.

3. Merugikan negara

4. Memperkaya diri sendiri dan kerabat.

5. Wang atau apa jua pemberian, pinjaman, upah, ganjaran berharga atau harta benda lain atau kepentingan harta benda dalam apa jua bentuk sama ada uang boleh digerakkan atau tidak;

6. Jawatan, kehormatan, pekerjaan, kontrak atau perkhidmatan atau perjanjian memberi pekerjaan atau khidmat;

7. Pembayaran, pembebasan, penjelasan atau penyelesaian apa jua pinjaman, tanggungjawab atau tanggungan sama ada sebahagian atau keseluruhannya;

Rujukan :
http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2004/ic35_2004.htm
http://ms.wikipedia.org/wiki/Korupsi_atau_Rasuah